Pages

Friday, August 1, 2008

SePaNTas Bila TerCaNTas..

Seringkali fitrah dan lumrah manusia bila terasa diri terkandas atau tercantas akan tangkas lekas mencari, mengatur langkah mengeluarkan diri sepantas yang boleh daripada kepompong halangan dan permasalahan yang membantutkan. Kadangkala ada yang sudah menjangkakan pro kontra daripada tindak tanduk yang dipilih dengan memikirkan atau tidak langsung kemungkinan yang akan mendatang sama ada membawa pulangan berbaloi mahupun sebaliknya.

Kadangkala ini mencetuskan suatu krisis keyakinan dan pelbagai keraguan sama ada tindakan sepantas bila tercantas akan menyelesaikan permasalahan atau sekadar menambahkan lagi permasalahan yang mengusutkan. Memang benar melarikan diri mungkin bukan kaedah penyelesaian terbaik tetapi kalau itu yang mampu untuk memberikan impak permulaan ke arah penamatan kenapa tidak? Memperlihatkan skop untuk memberikan keyakinan dan membina kembali jati diri apabila terkandas atau tercantas dalam sesuatu pekara, tindakan sepantas perlu diambil sebelum ia berterusan memakan kebolehan mencipta ruang atau peluang keemasan disusuli dengan penyudahan yang bijak.

Memandang, menilai serta menganalisa kekurangan diri adalah suatu tindakan merentas yang terpuji kerana ia boleh menjadi panduan dan haluan untuk melakukan migrasi yang terbaik dan sebaik mungkin sebelum pekara terkeji datang mendampingi atas sindrom kelemahan dan kegagalan menguasai situasi disebabkan aliran dan kitaran hidup yang terlalu memaksa sama ada memilih kebaikan atau keburukan, kerugian atau keuntungan.

Maka sekiranya keadaan terasa diselubungi serta dikelilingi dengan perasaan yang membatasi, keluarkan diri sepantas mungkin untuk melihat pembaharuan yang menanti seterusnya mencipta suatu pembentukan yang bakal mengadaptasi suatu cerita perjalanan kehidupan yang diidami dan diingini kerana antara sedar mahupun tidak, sepantas bila tercantas bisa melahirkan erti sebenar akal dan jiwa yang bebas.

No comments: