Selamat berkunjung ke galeria Zeme Aircraft Collection (ZAC). Galeria ini memaparkan antara himpunan koleksi pesawat-pesawat miniature pelbagai jenis seperti Boeing, Airbus, Fokker yang merupakan salah satu hobi utama milik penulis di mana kebanyakannya adalah berskala 1:400 dan material buatan adalah daripada besi mati (diecast). Galeria koleksi dan kisah hobi ini pernah mendapat liputan dalam ruangan akhbar Utusan Malaysia yang diterbitkan untuk keluaran edisi Mingguan Malaysia pada 26 September 2010.
Pemilik kapal terbang di darat
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
Foto ZULHAFIZ HANAFIAH
SEWAKTU kecil, Mohd. Izarul Azman Ibrahim kerap mendongak ke langit tatkala mendengar deruan enjin kapal terbang di angkasa. Tidak kira di mana sahaja dia berada, pasti anak mata lelaki yang gemar disapa Izarul tertumpu kepada fizikal pesawat terutama bahagian kepak dan enjinnya.
Menyedari minat Izarul, arwah datuknya, Abdul Ghani Abu Bajar dengan senang hati membawa cucunya melihat kapal terbang mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
Keadaan landasan yang hanya dipagari jaringan biasa memudahkan sesiapa sahaja melihat kapal terbang mendarat.
‘‘Saya cukup teruja apabila melihat kapal terbang mendarat atau membuat penerbangan. Itu belum lagi apabila saya menaiki kapal terbang. Saya akan duduk diam-diam dan telek setiap inci kelengkapan di dalam kabin,’’ cerita Izarul mengimbas kenangan awal yang mencetuskan minat untuk mengumpul model kapal terbang jenis besi mati.
Jurutera pengisian teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta di ibu kota itu sebenarnya mempunyai pelbagai koleksi kapal terbang sama ada diperbuat dari plastik atau besi.
Bagaimanapun, selepas mempunyai wang sendiri, anak kedua dari sembilan adik beradik itu memutuskan untuk mengumpul koleksi kapal terbang berskala 1:400.
Kelebihan hobinya itu apabila setiap model mengikut saiz sebenar kapal terbang. Cuma bezanya kesemua pesawat itu bersaiz mini dan boleh disimpan di dalam almari hias.
Buat permulaan Izarul sudah mengumpul lebih 50 ragam pesawat terdiri daripada syarikat penerbangan Malaysia dan antarabangsa termasuk Singapura serta Indonesia.
Kebanyakannya dibeli di kedai cenderamata atau menerusi atas talian e-Bay di Internet. Setiap satu model berharga antara RM100 dan RM350 bergantung kepada jenis model.
Walaupun minat lelaki berusia 30 tahun itu sangat kontra dengan pekerjaannya yang mengadap monitor komputer, namun daya pengetahuannya tentang setiap siri pesawat cukup lengkap.
Semuanya diperoleh sama ada dari buku, Internet atau rakan-rakan seluruh dunia yang turut mempunyai minat yang sama dengannya menerusi perkongsian di www.diecastaircraftforum.com.