Pages

Monday, December 6, 2010

MAS : TraGedi 4 DisEmBer TanJonG KuPanG..

Imbauan sejarah hitam negara genap 33 tahun yang lampau masih terpahat, tanggal waktu hening malam hari Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan dalam sejarah dunia penerbangan Malaysia. Kawasan paya bakau dekat Kampung Ladang di Tanjong Kupang, Gelang Patah, Johor menjadi saksi betapa tragisnya sebuah pesawat penerbangan Malaysian Airline System (MAS) MH653 yang membawa seramai 93 penumpang termasuk orang kenamaan bersama 7 anak kapal telah meletup dan terhempas mengorbankan kesemua 100 orang dalam pesawat malang tersebut.

Pesawat nahas 4 Disember 1977 - Boeing 737-2H6 (9M-MBD)

Kronologi kisah nahas seperti yang dilaporkan kepada umum, pesawat MH653 jenis Boeing 737-2H6 reg# 9M-MBD yang dikendalikan Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya Kamarulzaman Jalil itu berlepas pada pukul 7.21 malam hari kejadian dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang dan dalam penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Kapten G.K. Ganjoor dilaporkan sempat memberitahu menara kawalan mengenai kehadiran pengganas di dalam pesawat yang sedang dikendalikannya sebelum sempat melakukan pendaratan, seterusnya pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Subang segera mengosongkan laluan 33 bagi membolehkan pesawat MAS mendarat dengan selamat.

Namun pesawat malang tersebut tidak sempat untuk melakukan pendaratan sebaliknya Kapten G.K Ganjoor bertindak terbang semula ke awan dan memberitahu menara kawalan yang dia diarahkan oleh pengganas untuk menerbangkan pesawat menuju ke Singapura. Kira-kira pukul 8.15 malam, pesawat yang membawa 93 penumpang bersama 7 krew penerbangan itu hilang dari radar menara kawalan dan terhempas di sebuah kawasan hutan paya bakau di Tanjong Kupang, Gelang Patah, Johor.

Selain juruterbang Kapten G.K Ganjoor dan pembantunya Kamarulzaman Jalil serta petugas kabin Karim Tahir, Onn Jaafar, Sharifah Sidah Syed Mohamad, Azian Borhanuddin nahas juga turut mengorbankan seorang usahawan Jepun Tomio Gotto dan Duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia serta isterinya. Tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa orang kenamaan antaranya Menteri Pertanian Datuk Seri Ali Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Tan Sri Mahfuz Khalid, Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera Datuk Khalid Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Abu Bakar Othman Merican. Dua orang pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime turut terkorban tanpa ada seorang pun yang terselamat dalam pesawat tragis tersebut. Mayat-mayat mangsa nahas pesawat MH653 disemadikan bersama di satu kawasan khas yang disediakan oleh kerajaan negeri Johor di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru setelah mendapat persetujuan ketua-ketua pelbagai agama.

Memorial Tugu Peringatan Tanjong Kupang, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.

Kawasan tragedi pesawat MH653 itu kini diletakkan di bawah kawalselia Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) secara konsesi dan dirizabkan sebagai zon bebas aktiviti manusia. Paya yang hangus dan menjadi saksi kepada 100 jiwa yang terkorban itu kini hanyalah hamparan muka bumi yang mirip hutan sekunder. Sebuah memorial Tugu Peringatan Tanjong Kupang di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru telah dibina sebagai usaha untuk memperingati mereka yang terkorban dalam tragedi menyayat hati. Tragedi menyembunyikan dan meninggalkan 1,001 misteri yang belum sempurna terjawab. Al-Fatihah dan takziah buat mangsa-mangsa serta keluarga nahas pilu tragedi 4 Disember 1977.

Pelbagai Teori Rampasan Pesawat :-

  • Rampasan dikatakan didalangi gerila Tentera Merah Jepung (JRA). Namun keterlibatan kumpulan itu dinafikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Ghazali Shafie.
  • Rampasan turut dikaitkan dengan anggota militan Vietnam kerana sebelum itu Singapura telah menahan 3 orang militan Vietnam yang merampas pesawat DC3 Air Vietnam.
  • Rampasan oleh pemberontak Cuba yang merancang khianat terhadap duta Mario Garcia dan duta-duta Cuba lain di seluruh dunia.
  • Terdapat spekulasi menyatakan kedua-dua juruterbang MH653 ditembak mati sebelum pesawat terhempas.

No comments: