Pages

Saturday, August 23, 2008

MERDEKA atau MeNderHaKa MindA..?

MERDEKA...!!! MERDEKA...!!! MERDEKA...!!!

Apa itu MERDEKA? Apa yang kita fahami disebalik erti dan intipati sebuah makna MERDEKA?

Adakah minda kita merdeka atau kita masih menderhaka bukan sahaja kepada pusaka pesaka bangsa waima kepada hati kita yang cukup terleka? Merintis sebuah perjalanan mahupun perjuangan semata-mata kerana ingin mengecapi nikmat sebuah kemerdekaan yang tiada infiniti nilainya amatlah janggal bilamana kita mudah melupakan pengisian segenap ruang dan zarah hikmah serta hikmat kemerdekaan. Kita boleh bertindak pasif atau agresif memastikan segala bentuk pengisian merdeka minda diwahcanakan dalam konteks penguasaan yang berkesan, mengesan kelebihan serta kekurangan, mengaudit untung dan rugi, menilai positif dan negatif, menzahir baik dan buruk.

YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan MERDEKA!!!

Kemerdekaan di Stadium Merdeka 31 Ogos 1957.

Tanggal 31 Ogos 2008 beberapa hari lagi, kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51 sejak laungan MERDEKA...!!! sebanyak 7 kali pada 31 Ogos 1957 oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka setelah menerima pengisytiharan kemerdekaannya tepat pada detik pertama pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur bagi menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Tema hari kemerdekaan yang ke-51 bagi tahun 2008 ialah "Perpaduan Teras Kejayaan".

Logo sambutan ulangtahun kemerdekaan 2008.

Rekabentuk logo sambutan ulangtahun kemerdekaan bagi tahun ini diilhamkan dari ikatan 3 figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan "Perpaduan Teras Kejayaan". 3 ikatan figura berbentuk manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara. 3 figura berbentuk manusia digayakan bergandingan bahu mewakili kaum-kaum di Malaysia yang bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan.

Warna merah simbol keberanian rakyat. Warna Putih simbol kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia. Warna kuning pula melambangkan Sistem Beraja dan Yang di-Pertuan Agong. Ianya juga membawa maksud warna kegemilangan dan keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.

Pengisian erti kemerdekaan dengan memertabatkan minda yang merdeka bukan menderhaka menjadi perintis yang puitis ke arah memupuk semangat cintakan perpaduan, rindukan keutuhan serta sayangkan kemuafakatan seluruh jiwa yang bersatu dan jitu. Tanpa ada unsur-unsur prejudis, membebaskan sikap keterbatasan, mendakap dan memeluk sekuat seerat mungkin nilai kemerdekaan yang total atas nilai-nilai integriti minda yang merdeka bukan menderhaka.

3 comments:

Anonymous said...

salam merdeka, semoga Allah pelihara dan lindungi Malaysia. semoga merdeka kali ini rakyat akan terus memupuk penyatuan dan perpaduan.

SELAMAT HARI MERDEKA!!!

Anonymous said...

selamat menyambut hari kemerdekaan 31 Ogos 2008. merdekakan minda, bersatulah rakyat Malaysia.

Anonymous said...

merdeka malaysia!!! jasa pejuang terdahulu amat kita hargai samapai Malaysia tidak hilang di dunia.