Pages

Sunday, August 31, 2008

MERDEKA iNi..

merdeka ini bumi didatangi
merdeka ini lautan direnangi
merdeka ini hujan diharungi
merdeka ini taufan dirintangi


merdeka ini cekal kendiri
merdeka ini kental terpatri
merdeka ini pantas berlari
merdeka ini tegap berdiri


merdeka ini semangat memberahi
merdeka ini kudrat membasahi
merdeka ini keringat memeluhi
merdeka ini rahmat melimpahi

merdeka ini pupus emosi
merdeka ini halus ilusi
merdeka ini tulus warasi
merdeka ini cetus realisasi


selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-51, kerana negaraku negara MERDEKA...!!!

Friday, August 29, 2008

CeriTa 3 Ta..

Wanita, Harta, Takhta

Penangan 3 Ta yang menjadi kuasa paling ampuh yang menguasai hati dan membuat pemiliknya cukup terlena sekiranya nafsu 3 Ta mengatasi akal pertimbangan. Kita boleh jadi suka atau duka kerana wanita, kita boleh jadi kaya atau papa kerana harta dan kita boleh jadi puji atau keji kerana takhta. Antara sedar atau lalai, kita boleh jatuh tersanggah atau diri bermegah pukulan kerenah 3 Ta ini.

Jika
dihadirkan wanita, kita menghendakkan harta. Jika sudah memiliki wanita dan harta, kita mengharapkan anugerah takhta. Lumrah dan fitrah sukar untuk menjalani titian hidup tanpa pelengkap 3 Ta ini kerana tarikannya cukup membuatkan kita menggeletar, membuaikan kita dari tersedar, meletakkan kita jauh tersasar dari landasan sebenar-benar.

Semua insan berhak dan layak mempunyai 3 Ta tersebut, yang membezakan hanya cara bagaimana memiliki serta menguruskannya, jika melanggar batas syarak ketentuan dan ketetapan maka akan menjadi kebatilan mencipta kesalahan. Pengurusan 3 Ta ini akan menjadi indah sekiranya memiliki secara halal, bukan menghalalkan cara dengan menodai untuk menalukinya.

Jika diajukan kepada penulis, wanita itulah merangkumi harta dan takhta yang tiada ternilai ukuran infiniti sebaik semolek pemilikan yang tersemat di hati. Maka, antara entiti wanita, harta dan takhta yang mana buruan, tujuan dan igauan keutamaan anda?

Thursday, August 28, 2008

PRK Permatang Pauh : KaTa KuLi..


Kenyataan Keputusan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh

26 Ogos, 2008

YBM Tengku Razaleigh Hamzah
Ahli Parlimen, Gua Musang
31 Jalan Langgak Golf
55000 Kuala Lumpur

Lima bulan setelah kekalahan Pilihanraya Umum terbesar dalam sejarah kita, UMNO kini mengalami kekalahan yang besar pula di Permatang Pauh. Kekalahan ini dirasai walaupun dengan mengerahkan kepimpinan dan menggunakan sumber-sumber parti yang telah menerajui kerajaan selama lima puluh tahun. Kekalahan ini dirasai walaupun melaksanakan kempen yang menghina dan memecah-belahkan Negara kita. Sudah tiba masanya kita menerima hakikat sebenar: italah yang telah dikuburkan:

  • Kepimpinan Negara ditolak oleh rakyat dan juga ditolak oleh ahli-ahli kita sendiri. Kiraan undi Barisan Nasional kurang daripada jumlah ahli UMNO di Permatang Pauh.
  • Di kalangan parti-parti komponen kita sendiri, kempen kita bukan sahaja tidak bermaya, bahkan tidak diselaraskan dengan baik.
  • Rasa kebolehpercayaan terhadap Perdana Menteri dan Timbalannya yang setidak-tidaknya ada selepas 8 Mac kini hapus sama sekali.

Kad laporan hari ini yang dihantar kepada Perdana Menteri selaku Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan Pengerusi BN, tidak boleh disembunyikan: beliau tidak mempunyai kredibiliti yang diperlukan untuk menguruskan Negara kita, apatah lagi mengemudinya ke arah baru dalam dunia yang begitu rumit dan kompleks. Beliau mungkin tidak mempunyai kredibiliti yang diperlukan untuk menyatukan Negara kita. Keadaan ini amat merbahaya dan tidak boleh berterusan: ianya tidak akan berterusan.

Saya merayu kepada ahli-ahli UMNO dan parti-parti komponen BN supaya terus bersama UMNO dalam menghadapi krisis ini. Rakyat Malaysia dan juga ahli-ahli biasa UMNO sudah melaungkan suara kemerdekaan mereka. Mereka menuntut kepimpinan yang boleh dipercayai dan akan menyatukan mereka, yang akan mengembalikan kepercayaan terhadap institusi-institusi dan akan mara dengan wawasan yang jelas. Hari ini membuktikan yang arah aliran ini tidak boleh dihalang. UMNO mesti berubah. Kita mulakan dengan memulihkan kepimpinan Parti. Saya yakin, pada bulan Disember, kita akan berbuat demikian.

Tengku Razaleigh Hamzah

Monday, August 25, 2008

MERDEKA : KoLeKsi NoSTaLgia..

(Ihsan sumber koleksi dan hakmilik Arkib Negara Malaysia)

Sejarah Kemerdekaan

Ke Arah Mencapai Kemerdekaan

Penubuhan Malaysia

Saturday, August 23, 2008

MERDEKA atau MeNderHaKa MindA..?

MERDEKA...!!! MERDEKA...!!! MERDEKA...!!!

Apa itu MERDEKA? Apa yang kita fahami disebalik erti dan intipati sebuah makna MERDEKA?

Adakah minda kita merdeka atau kita masih menderhaka bukan sahaja kepada pusaka pesaka bangsa waima kepada hati kita yang cukup terleka? Merintis sebuah perjalanan mahupun perjuangan semata-mata kerana ingin mengecapi nikmat sebuah kemerdekaan yang tiada infiniti nilainya amatlah janggal bilamana kita mudah melupakan pengisian segenap ruang dan zarah hikmah serta hikmat kemerdekaan. Kita boleh bertindak pasif atau agresif memastikan segala bentuk pengisian merdeka minda diwahcanakan dalam konteks penguasaan yang berkesan, mengesan kelebihan serta kekurangan, mengaudit untung dan rugi, menilai positif dan negatif, menzahir baik dan buruk.

YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan MERDEKA!!!

Kemerdekaan di Stadium Merdeka 31 Ogos 1957.

Tanggal 31 Ogos 2008 beberapa hari lagi, kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51 sejak laungan MERDEKA...!!! sebanyak 7 kali pada 31 Ogos 1957 oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka setelah menerima pengisytiharan kemerdekaannya tepat pada detik pertama pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur bagi menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Tema hari kemerdekaan yang ke-51 bagi tahun 2008 ialah "Perpaduan Teras Kejayaan".

Logo sambutan ulangtahun kemerdekaan 2008.

Rekabentuk logo sambutan ulangtahun kemerdekaan bagi tahun ini diilhamkan dari ikatan 3 figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan "Perpaduan Teras Kejayaan". 3 ikatan figura berbentuk manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara. 3 figura berbentuk manusia digayakan bergandingan bahu mewakili kaum-kaum di Malaysia yang bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan.

Warna merah simbol keberanian rakyat. Warna Putih simbol kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia. Warna kuning pula melambangkan Sistem Beraja dan Yang di-Pertuan Agong. Ianya juga membawa maksud warna kegemilangan dan keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.

Pengisian erti kemerdekaan dengan memertabatkan minda yang merdeka bukan menderhaka menjadi perintis yang puitis ke arah memupuk semangat cintakan perpaduan, rindukan keutuhan serta sayangkan kemuafakatan seluruh jiwa yang bersatu dan jitu. Tanpa ada unsur-unsur prejudis, membebaskan sikap keterbatasan, mendakap dan memeluk sekuat seerat mungkin nilai kemerdekaan yang total atas nilai-nilai integriti minda yang merdeka bukan menderhaka.

Monday, August 4, 2008

UM : VaRSiti keSaYanGanKu..

UM : 1998-2004

Memori Universiti Malaya. Ya, tarikh hari ini pada 4 tahun yang lepas akan terus mengamit kenangan betapa indah sehingga menitiskan airmata kegembiraan betapa usaha selama ini terasa berbaloi membalas segala pahit perit erti sebuah perjuangan dalam menuntut ilmu. Tanggal 4 Ogos akan terus terpahat manis bahawa aku telah mengenggam sebuah kejayaan ternilai dalam sejarah hidup.

Dianugerahkan segulung Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) Multimedia daripada Pro-Canselor Universiti Malaya iaitu Raja Muda Perak YM Raja Dr Nazrin Shah pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-43 bertarikh 04.08.2004 adalah kemuncak kejayaan setelah kali pertama menjejak kaki pada pengajian Asasi Sains Fizikal di Pusat Asasi Sains UM dalam tahun 1998 dan seterusnya menyambung pengajian pada peringkat ijazah di Fakulti Sains Komputer & Teknologi Maklumat (FSKTM), Jabatan Multimedia dalam tahun 2000. Projek penyelidikan akhir tahun yang dibangunkan di bawah pengawasan pensyarah Pn Norjihan Abdul Ghani telah dilanjutkan kajiannya seterusnya diterbitkan dan pernah menyertai seminar - Norjihan, A. G. & Izarul, M. I. "Online Learning Of Mathematics In English : An Introduction". First International Conference & Exhibition on E-Learning 2006, Bahrain Conference Centre, Bahrain, 17 – 19 April 2006.

Sejarah Universiti

Universiti Malaya (UM) yang menggunakan cogankata "Ilmu Puncha Kemajuan" ditubuhkan pada Oktober 1949 dan adalah Universiti tertua di Malaysia dengan kampusnya seluas 309 hektar. Sejarah bermula di Singapura, dari Kolej Perubatan King Edward VII (ditubuhkan pada 1905) dan Kolej Raffles (ditubuhkan pada 1929). Kedua-dua kolej ini bergabung menjadi Universiti Malaya pada 8 Oktober 1949. Kemudian pada tahun 1959, universiti ini mengambil keputusan berpecah kepada dua bahagian, satu di Singapura (kemudiannya menjadi Universiti Nasional Singapura) dan satu lagi di Kuala Lumpur (mengekalkan nama Universiti Malaya). Maka secara rasminya Universiti Malaya sekarang ini ditubuhkan pada 1 Januari 1962 dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai Canselor pertamanya.

Lagu Universiti

Universiti Malaya ...

Universiti Malaya
Kebanggaan kita semua
Bertambah para ilmuan
Di pelbagai lapangan

Kami bertekad dihati
Mencapai cita murni
Tradisi kecemerlangan
Menepati wawasan

Di sini kami sedia berbakti
Terus berinovasi
Kami harapan generasi muka
Teras nusa dan bangsa

Varsiti kesayanganku
Sungguh banyak jasamu
Membentuk insan mulia
Berilmu berbudaya

InsyaAllah aku akan kembali kepada UM satu hari nanti, untuk terus mengalun lagu universiti yang kali terakhir didendangkan pada Majlis Istiadat Konvokesyen Dewan Tuanku Canselor 04.08.2008.

Saturday, August 2, 2008

UsUL akAr Umbi..

Kepimpinan Pak Lah selaku Presiden UMNO kini mula di sanggah?

Senario perkembangan semasa selepas mesyuarat UMNO Cawangan mulai bersidang semenjak 17 Julai 2008 yang lalu telah menampakkan ada suara-suara akar umbi menolak kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk terus menerajui tampok pentadbiran UMNO selaku Presiden sekaligus mengusulkan alternatif calon-calon lain yang berwibawa ke Bahagian masing-masing untuk dicalonkan bertanding jawatan Presiden dan juga Timbalan Presiden. Tengku Razaleigh Hamzah, Dato' Seri Najib Tun Razak serta Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah watak-watak yang mendapat perhatian dan diterima akar umbi untuk bertanding jawatan Presiden dan juga Timbalan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2008 akan datang.

Tengku Razaleigh - Muhyiddin : Gandingan Ideal Presiden - Timbalan Presiden?

Penulis tertarik dengan usul-usul sesetengah Cawangan yang telah selesai bersidang meskipun belum kesemua Cawangan UMNO seluruh negara mengadakan persidangan, namun ada antaranya menunjukkan sikap berani inginkan perubahan daripada pucuk pimpinan UMNO sekarang kepada pemilihan pemimpin yang lain asalkan bukan diterajui lagi oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Berikut sebahagian cebisan kisah apa yang diusulkan pada persidangan Cawangan yang telah selesai sehingga 31 Julai 2008 :-

  • 87 Cawangan (Bahagian Gua Musang) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • Cawangan Ciku Dua B (Bahagian Gua Musang) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden) & DS Najib (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Kampung Ubai (Bahagian Pekan) - mengusulkan DS Najib (Presiden).
  • Cawangan Bukit Kuantan 2 (Bahagian Paya Besar) - mengusulkan DS Najib (Presiden).
  • Cawangan USJ 2 (Bahagian Kelana Jaya) - mengusulkan DS Najib (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Jalan Enggang (Bahagian Ampang) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • Cawangan Parit Simis Darat (Bahagian Parit Sulong) - mengusulkan DS Najib (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Kg. Tengah (Bahagian Pagoh) - mengusulkan DS Najib (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Desa Jaya (Bahagian Johor Bahru) - TS Muhyiddin (Presiden).
  • Cawangan Kelana Jaya Baru (Bahagian Petaling Jaya Utara) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • 2 Cawangan (Bahagian Kuala Kedah) dan (Bahagian Pokok Sena) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • 12 Cawangan Maharani, Bandar A, Bandar, Parit Perupuk Laut, Sungai Balang, Kampung Indah Parit Bugis, Seri Kemang, Sungai Kelat, Sungai Pulai, Seri Rahmat, Seri Pantai dan Paya Lebar (Bahagian Muar) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • 1 Cawangan (Bahagian Langkawi) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • Cawangan Kampung Tua (Bahagian Langkawi) - mengusulkan DS Najib (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Parit 4 Timur (Bahagian Sabak Bernam) - mengusulkan DS Najib (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Kg. Mesjid Jeneri (Bahagian Sik) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • Cawangan Kulambai Dundau (Bahagian Kota Belud) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • Cawangan Guar Tinggi (Bahagian Padang Besar) - mengusulkan DS Abdullah & DS Najib sama-sama melepaskan jawatan mereka.
  • Cawangan Air Keroh (Bahagian Bukit Katil) - mengusulkan DS Abdullah melepaskan jawatan Presiden UMNO dan tidak bertanding pada pemilihan parti Disember 2008.
  • 1 Cawangan (Bahagian Alor Gajah) - mengusulkan DS Abdullah melepaskan jawatan Presiden UMNO.
  • 1 Cawangan (Bahagian Pandan) - mengusulkan bukan DS Abdullah sebagai Presiden UMNO.

Mungkin usul-usul ini memberikan gambaran awal suara akar umbi yang telah atau belum bersidang yang sebenarnya menginginkan perubahan untuk menyelamatkan UMNO daripada menjadi mangsa krisis kepimpinan dan pentadbiran. Parti UMNO yang ditunjangi oleh ahli-ahli daripada 20,401 Cawangan bagi keseluruhan 191 bahagian UMNO di Malaysia kini akan tetap teguh untuk terus mendokong misi perjuangan Agama, Bangsa dan Tanahair.

(Kemaskini Terbaru: Sehingga 4 Ogos 2008)

Berikut tambahan terkini usul-usul persidangan Cawangan UMNO yang telah selesai sehingga 4 Ogos 2008 :-

  • Kesemua 116 Cawangan antaranya Ciku 6, Zon Aring, Kijang Bahagia (Bahagian Gua Musang) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • 15 Cawangan antaranya Padang Pohon Tanjung (Bahagian Tumpat) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • Cawangan Taman Cahaya (Bahagian Pandan) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Jitra (Bahagian Kubang Pasu) - mengusulkan DSU Dr. Rais Yatim (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Permas Jaya 7 (Bahagian Pasir Gudang) - mengusulkan TS Muhyiddin (Presiden).
  • Cawangan Stulang Laut (Bahagian Johor Bahru) - mengusulkan TS Muhyiddin (Presiden).
  • Cawangan Jalan Khamis (Bahagian Kapar) - mengusulkan TS Muhyiddin (Presiden).
  • Cawangan Danasari (Bahagian Parit Sulong) - mengusulkan DS Najib (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden) serta usul supaya tempoh peralihan kuasa DS Abdullah kepada DS Najib mulai 1 Januari 2009.
  • Cawangan Telok Mengkuang (Bahagian Kuala Langat) - mengusulkan agar peralihan kuasa DS Abdullah kepada DS Najib disegerakan mulai 1 Disember 2008.
  • Cawangan Sri Pantai (Bahagian Kuala Kedah) - mengusulkan mendesak DS Abdullah meletak jawatan sebagai Presiden sebelum pemilihan parti Disember 2008.
  • Cawangan Penggaram Utama (Bahagian Batu Pahat) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • Cawangan Bandar Teknologi (Bahagian Kajang) - mengusulkan agar jawatan Presiden & Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan pada pemilihan parti Disember 2008.

(Kemaskini Terbaru: Sehingga 15 Ogos 2008)

Berikut tambahan terkini usul-usul persidangan Cawangan UMNO yang telah selesai sehingga 15 Ogos 2008 :-

  • Cawangan Taman Orkid (Bahagian Merbok) - sebulat suara meluluskan usul undi tidak percaya terhadap DS Abdullah selaku Presiden UMNO, juga mengusulkan TS Muhyiddin (Presiden) & Tengku Razaleigh (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Kampung Candi, Cawangan Semeling (Bahagian Merbok) - mengusulkan TS Muhyiddin (Presiden) & Tengku Razaleigh (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Sungai Layar Hujung (Bahagian Merbok) - mengusulkan DS Najib (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Taman Seroja (Bahagian Merbok) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden)
  • Cawangan Taman Bersatu (Bahagian Sungai Petani) - mengusulkan DS Najib (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Bandar Baru Jaya Gading (Bahagian Pekan) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden) & DS Najib (Timbalan Presiden) serta usul sistem kuota bagi semua jawatan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO dimansuhkan.
  • Cawangan Kampung Tembioh (Bahagian Kota Tinggi) - mengusulkan DS Najib (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Sungai Buloh Country Resort (Bahagian Kuala Selangor) - mengusulkan usul meminta tempoh peralihan kuasa daripada DS Abdullah Ahmad Badawi kepada DS Najib Tun Razak, dilakukan mulai 1 Januari 2009.
  • Cawangan Hulu Bernam (Bahagian Hulu Selangor) - sebulat suara meluluskan usul mencadangkan ke Bahagian tidak mencalonkan DS Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO dan juga turut membawa usul mencadangkan percalonan DS Najib (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden).
  • Cawangan Tasik Tanjung Belanja (Bahagian Parit) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • 3 Cawangan Manjoi, Kledang, Kelebang (Bahagian Tambun) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • Cawangan Kampung Rahmat (Bahagian Bukit Gantang) - meluluskan usul supaya DS Abdullah meletak jawatan dengan segera.
  • Cawangan Taman Sri Putra (Bahagian Kuala Langat) - meluluskan usul “agar saf kepemimpinan UMNO Malaysia” dirombak seberapa segera, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan serta mencadangkan DS Najib (Presiden) & TS Muhyidin (Timbalan Presiden).
  • 2 Cawangan Kampung Pauh, Tengkawang (Bahagian Hulu Terengganu) - mengusulkan dan memberikan sokongan penuh Tengku Razaleigh (Presiden).
  • Cawangan Tok Mucung Wakaf Tapai (Bahagian Marang) - mengusulkan dan sebulat suara mencadangkan Tengku Razaleigh (Presiden).
  • Cawangan Masjid Pakistan (Bahagian Titiwangsa) - mengusulkan Tengku Razaleigh (Presiden) & TS Muhyiddin (Timbalan Presiden).

Friday, August 1, 2008

SePaNTas Bila TerCaNTas..

Seringkali fitrah dan lumrah manusia bila terasa diri terkandas atau tercantas akan tangkas lekas mencari, mengatur langkah mengeluarkan diri sepantas yang boleh daripada kepompong halangan dan permasalahan yang membantutkan. Kadangkala ada yang sudah menjangkakan pro kontra daripada tindak tanduk yang dipilih dengan memikirkan atau tidak langsung kemungkinan yang akan mendatang sama ada membawa pulangan berbaloi mahupun sebaliknya.

Kadangkala ini mencetuskan suatu krisis keyakinan dan pelbagai keraguan sama ada tindakan sepantas bila tercantas akan menyelesaikan permasalahan atau sekadar menambahkan lagi permasalahan yang mengusutkan. Memang benar melarikan diri mungkin bukan kaedah penyelesaian terbaik tetapi kalau itu yang mampu untuk memberikan impak permulaan ke arah penamatan kenapa tidak? Memperlihatkan skop untuk memberikan keyakinan dan membina kembali jati diri apabila terkandas atau tercantas dalam sesuatu pekara, tindakan sepantas perlu diambil sebelum ia berterusan memakan kebolehan mencipta ruang atau peluang keemasan disusuli dengan penyudahan yang bijak.

Memandang, menilai serta menganalisa kekurangan diri adalah suatu tindakan merentas yang terpuji kerana ia boleh menjadi panduan dan haluan untuk melakukan migrasi yang terbaik dan sebaik mungkin sebelum pekara terkeji datang mendampingi atas sindrom kelemahan dan kegagalan menguasai situasi disebabkan aliran dan kitaran hidup yang terlalu memaksa sama ada memilih kebaikan atau keburukan, kerugian atau keuntungan.

Maka sekiranya keadaan terasa diselubungi serta dikelilingi dengan perasaan yang membatasi, keluarkan diri sepantas mungkin untuk melihat pembaharuan yang menanti seterusnya mencipta suatu pembentukan yang bakal mengadaptasi suatu cerita perjalanan kehidupan yang diidami dan diingini kerana antara sedar mahupun tidak, sepantas bila tercantas bisa melahirkan erti sebenar akal dan jiwa yang bebas.