Pages

Friday, March 21, 2008

PRU12 : CoReTan di KoTa BhaRu..

Pilihanraya Umum yang ke-12 (PRU12) tanggal 8 Mac 2008 baru lalu mencoretkan pelbagai seribu satu kisah imbasan suka duka yang mengejutkan, ada juga yang memeranjatkan, ada yang telah di duga malahan ada ramalan yang mengena. Itulah uniknya corak dan perjalanan politik tanahair masa kini. PRU12 kali ini juga aku turut serta tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berdaftar di Parlimen P21 Kota Bharu dan DUN N8 Tanjong Mas.

Pulang ke kampung halaman di malam PRU12 dari kota metropolitan KL begitu menyemarakkan lagi semangat pilihanraya kali ini, melihatkan pula di sepanjang perjalanan berpusu-pusu anak perantauan turut serta kembali umpama mengulangi detik sambutan perayaan Aidilfitri atau Aidiladha. Ya, tiap kali pilihanraya suasana di Kelantan selalunya begitu meriah dengan perang poster, bendera parti berkibaran serta hiasan pondok dan bilik gerakan jentera parti yang bertanding. Alhamdullilah, bertolak pulang lingkungan jam 10 malam dan selamat sampai ke Kota Bharu seawal subuh. Seawal hening pagi selepas menikmati hidangan nasi berlauk, aku meluangkan masa terlebih dahulu meninjau suasana sekitar bandar Kota Bharu dan pusat pembuangan undi di Sek. Men. Agama Mahaad Muhammadi (L), tempat yang bakal aku akan membuang undi.

Meninjau suasana politik sekitar Kota Bharu dan negeri Kelantan begitu menarik, di samping mencongak-congak siapa pilihan calon yang terbaik mewakili kawasan Parlimen P21 Kota Bharu antara Dato' Mohd Fatmi Che Salleh (BN) - Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu atau Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (PAS) - bekas Speaker DUN Kelantan Penggal ke-11. Manakala di peringkat DUN N8 Tanjong Mas memperlihatkan 2 calon kaum wanita antara Rohani Ibrahim (PAS) - bekas YB penyandang kawasan atau Khazuni Dato' Othman (BN) - Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Bharu. Lebih kurang jam 11 pagi baru aku selesai menunaikan tanggungjawab membuang undi.

Waktu tengah hari hingga ke petang, aku bersama beberapa rakan berada di sekitar pejabat Urusetia Portfolio Keselamatan BN Parlimen Kota Bharu di Sri Cemerlang kerana ada sesuatu yang agak menarik berlaku di sana sehinggakan sebilangan anggota FRU terpaksa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Mujurlah tiada apa yang tidak diingini berlaku, namun bagi aku itulah sebahagian corat coret PRU12 di kawasan Parlimen Kota Bharu kali ini.




Sebelum pulang ke rumah lewat petang, aku sempat singgah bertemu beberapa rakan lama sambil menghirup minuman petang di kedai kopi berhampiran Pejabat PAS Bahagian Kota Bharu di Berek 12. Seronok bercerita berbual bersama rakan-rakan lama yang hanya dapat diketemui semasa cuti panjang atau waktu pulang ke kampung halaman. Sebelah malamnya pula waktu yang mendebarkan bagi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi dan hingga ke larut malam debaran semakin kuat apabila keputusan PRU12 bertubi-tubi diumumkan sehingga aku boleh terlelap di depan kaca TV. Untuk yang berjaya tahniah serta selamat menunaikan tanggungjawab pada rakyat dan buat yang rebah, haruslah tabah dan percayalah banyak hikmah di sebalik apa yang telah tersurat. Begitulah uniknya suasana politik Malaysia kini.

3 comments:

Anonymous said...

nak tanya, apa yang org ramai-ramai berhimpun tengok tu? macam ada benda je.

zeme said...

saudara lie,

pepatah ada menyebutkan "kalau ada gula disitu lah ada semut". fahamkan makna pepatah tu?

Anonymous said...

bila demokrasi boleh menjadi bahan jual beli tidak mustahil pilihanraya menjadi satu lubuk kemewahan. mengundi kerana tawaran dan habuan bukan kerana niat, tanggungjawab menentukan kerajaan.