Aku juga mengambil kesempatan cuti panjang hari raya selama seminggu kali ini untuk berehat dan meluangkan masa terindah bersama keluarga tercinta di Kota Bharu. Aku meninggalkan Kota Metropolitan K.Lumpur pada sabtu awal pagi sekitar jam 2 dan seperti kebiasaan, kesesakan semasa pulang berhari raya tidak dapat dipisahkan. Jadi tidak hairan kesesakan teruk bermula sebaik menuju ke Tol Gombak dan sepanjang highway Karak sehingga Tol Bentong. Aku singgah di hentian rehat Genting Sempah sekitar jam 5 pagi utk bersahur setelah 3 jam terkandas dlm kesesakan bermula menuju Tol Gombak. Aku ingatkan setakat highway jer jam, tapi McD pun " jam" dan terpaksa Q panjang hampir 30 minit utk membeli makanan sahur. Setelah sahur dan solat subuh, aku menyambung kembali perjalanan dan tiba di bandar Bentong sekitar jam 7 pagi. Oleh kerana mata yang sangat mengantuk dan keletihan, aku terlelap sekejap selama sejam di kawasan masjid Bentong.
Kesesakan teruk juga sehingga 6 km menuju ke bandar Raub dengan deretan kereta yang cukup memeriahkan jalanraya dengan pelbagai gelagat dan ragam pemandu. Ada pemandu yang berhemat, ada pula yang mementingkan diri sendiri sehingga melupakan tatatertib di jalanraya sehingga ada yang bersikap kurang ajar memotong barisan dari sebelah kiri/lorong kecemasan serta ketika dalam kesesakan teruk dan lagi bersikap biadap "pancung" masuk barisan tanpa memberikan langsung signal laluan. Sikap-sikap pemandu semacam ini boleh mengundang kesusahan kepada pengguna jalanraya yg lain. Pujian kepada pihak Polis Peronda yg pantas mengambil tindakan saman ke atas pemandu tegar ini agar lebih bersikap bertanggungjawab dan bertamadun. Kesesakan teruk juga sekitar menuju Bukit Tujuh serta Merapoh dan aku sampai di bandar Gua Musang sekitar tengahari berehat sebentar untuk solat zohor serta mengisi minyak. Kelihatan juga banyak banner tergantung di sepanjang jalan dengan ucapan-ucapan menyambut kepulangan anak perantauan ke Kelantan.
Keadaan lalulintas sepanjang jalan Gua Musang - Kuala Krai agak terkawal namun berlaku kesesakan teruk sehingga 8 km menuju simpang Kuala Krai - Kota Bharu di samping hujan yg agak lebat membasahi jalan menuju Machang. Coretan perjalanan balik kampung di musim perayaan yg memenatkan serta menyimpan segala macam kisah dan Alhamdullilah aku selamat sampai di Taman Sari sekitar jam 5 petang.
Di pagi 1 Syawal, aku bangkit dengan penuh kesyukuran bersiap-siap mengenakan baju melayu purple bersampin sulam dark blue menuju ke masjid berhampiran rumah menunaikan solat sunat Aidilfitri. Sekembali menunaikan solat, rutin di pagi syawal kami sekeluarga bermaaf-maafan memohon keberkatan dan rahmat dari Allah SWT serta menjamu selera hidangan tersedia bagi hari raya pertama menu satay, nasi impit, lemang, rendang, ketupat. Sekitar jam 11 pagi aku bersama abang ipar dan anak buah berkunjung beraya ke rumah MB Kelantan di kediaman beliau di Pulau Melaka. Agak melucukan melihatkan telatah anak buah aku Yeen yg agak ketakutan semasa bersalaman dengan MB Kelantan disebabkan Yeen takutkan pada janggut putih Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abd. Aziz. Kemeriahan beraya di kediaman MB Kelantan dengan kunjungan tetamu pelbagai peringkat, kaum dan bangsa Melayu, Cina, India, Siam mencerminkan keharmonian dan kesejahteraan sambutan perayaan di Kelantan. Menu laksa kelantan menjadi hidangan utama buat tetamu dan aku berselera kekenyangan sehingga tidak sedar sudah 3 pinggan aku makan kerana laksa kelantan sememangnya makanan favorite aku.
Sebelah petang selepas zohor, kenangan terindah Aidilfitri kali ini buat aku. Aku bersama family berkunjung ziarah ke rumah keluarga "bakal". Hidangan menu nasi briani, gulai daging, roti jala serta kuzi ayam yg disediakan oleh keluarga "bakal" menjadi santapan kami sekeluarga. Semoga silaturahim dan ukhwah bakal terjalin mengeratkan ikatan perhubungan ini dan kek coklat balasan menjadi tanda ikatan yg bakal dimeterai. Amin. Setelah pulang dari rumah keluarga "bakal", kami sekeluarga berkunjung raya ke rumah saudara mara sekitar Kota Bharu.
Pada hari raya ke-2, menu hidangan nasi dagang menjadi hidangan buat saudara mara dan tetamu yg berkunjung beraya ke kediaman Taman Sari. Kemeriahan berkumpul bersama-sama keluarga serta telatah saudara mara meraikan hari raya menjadikan sambutan Aidillfitri semakin bermakna. Hari raya ke-3, sebelah awal pagi aku bersama keluarga berkunjung beraya ke rumah saudara di Marang, Terengganu dan pada hampir senja baru kami berangkat balik ke Kota Bharu. Semasa di Terengganu, aku ingin berkunjung ke rumah rakan di Losong sambil ziarah setelah mendapat tahu rakan baru kehilangan arwah tok menjelang syawal tetapi disebabkan keadaan jalan sekitar K.Terengganu kesesakan teruk dan hari sudah lewat aku terpaksa batalkan niat tersebut.
Hari raya ke-4, agak busy sebelah pagi membantu adik menyiapkan bahan-bahan menu utk menyambut kunjungan balas keluarga "bakal". Menu utama makaroni bakar, mee kari yg disediakan oleh adik menjadi hidangan menerima kunjungan keluarga "bakal" pada sebelah petang. Seronok melihat telatah kedua-dua belah family bercerita dan bercoleteh, mudah-mudahan ikatan ukhwah ini semakin erat dan rapat. Pada sebelah malam kami sekeluarga keluar menikmati hidangan makan besar di New Horizon di samping meraikan sambutan hari ulangtahun anak buah, Yeen yg ke-4 tahun.
Sambutan Aidilfitri tahun ini sememangnya menyimpan seribu macam kenangan, kisah kasih Aidilfitri di samping keluarga dan insan tercinta. Namun ini Aidilfitri kali ke-3 kami sekeluarga menyambutnya tanpa kehadiran arwah Tok Ayah di sisi. Sesungguhnya kami merasai kehilangan arwah Tok Ayah tercinta dan kunjungan di pusara arwah Tok Ayah mengubat kerinduan di Aidilfitri. InsyaAllah dipanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga sambutan Aidilfitri mendatang akan lebih bermakna dan dirahmati kerana sesungguhnya Aidilfitri hari kasih terpatri.
No comments:
Post a Comment