Pages

Friday, April 30, 2010

AL-FaTihah : gEnap 3 taHun..


Jika aku dapat pusing masa dan kembali pada waktu lampau, ingin aku pusing masa hari ini ke sebelum 30 April 2007. Jika aku tahu kelainan genggaman sangat erat lagi kuat arwah tok ayah memegang tangan ku sewaktu bersalam sebelum aku pulang ke KL pada petang 29 April 2007 menjadi salam terakhir dan tanda arwah tok ayah akan pergi selama-lamanya, pasti sedikit pun aku tidak akan berganjak dari sisi arwah yg terlantar tidak sihat.

Hari ini genap 3 tahun arwah tok ayah kembali ke rahmahtullah pada pagi awal subuh jam 5.15am, 30 April 2007. Masih terngiang-ngiang call dan sms awal pagi isnin dari adik.. "abe me, tok ayoh x dok doh.." di kala aku masih di ulit lena kerana terlalu kepenatan baru sampai di KL dari KB pada tengah malam sebelumnya. Sukar untuk aku lupakan dan percaya, seolah-olah bermimpi menerima berita yg begitu mengejutkan walhal baru petang semalam aku masih berada di rumah KB di sisi arwah tok ayah. Kelainan genggaman tangan yg sangat erat arwah tok ayah seolah-olah memberi isyarat tidak membenarkan aku balik KL kerana pasti lepas ini aku tidak akan dapat menatap wajah arwah bernyawa lagi buat selama-lamanya. Entah mengapa aku terasa sebak ketika memeluk cium meminta izin pulang ke KL tetapi itulah takdir yang telah tersurat, esoknya aku tanpa berada di sisi arwah tok ayah ketika hembusan nafas terakhir.

Aku membesar dalam jagaan arwah tok ayah serta nenek kerna abah dan ma sentiasa berpindah-randah disebabkan tugas seorang anggota polis. Dari umur aku setahun, belum bertatih pun, aku telah bermanja, di bela oleh arwah tok ayah sehinggalah saat aku melihat insan yang menjaga aku selama ini kaku, tenang dalam senyuman menyahut pulang panggilan Illahi. Cuma aku terkilan sangat hingga ke saat ini, kenapalah aku tak tunaikan permintaan arwah tok ayah malam sebelum itu, "me..nanti tido bawah deh male ni..jaga tok ayah..".

Masih kuat dalam memori aku, sepanjang perjalanan pulang kembali ke KB dari KL hanya tuhan saja Maha Mengetahui betapa pilu sehingga aku tak berdaya menahan airmata dari bercurahan. Tidak pernah aku menangis sesedih itu sepanjang perjalanan KL ke KB. Aku sentiasa menelefon memesan agar jangan dikafani lagi arwah tok ayah kerna aku ingin memeluk ciumnya buat kali penghabisan. Aku tak tertahan airmata lagi sebaik menjejak kaki ke rumah, namun sebagai seorang muslim aku redha dengan pemergian arwah tok ayah dan bila ku tatapi wajah yang begitu tenang aku sedar arwah tok ayah akan gembira di sana hilang semua derita kesakitan selama ini. Hanya kata-kata semangat nenek, abah, ma serta saudara mara memberikan lagi kekuatan agar aku bersabar dengan ujian kehilangan orang tersayang.

Selesai pengebumian dan bacaan talkin, aku masih ingat pesan kata-kata kenalan yang juga sahabat karib arwah tok ayah, YBM Tengku Razaleigh Hamzah yang turut serta mengiringi arwah tok ayah di pusara "cikgu bukan saja sahabat baik lama ambo, tapi adalah guru kepada ambo. cikgu tetap pergi tinggalkan kita, tapi perjuangan dan semangat cikgu tetap ada bersama kita. cikgu tetap di hati kita..". Cikgu merupakan panggilan mesra YBM Tengku Razaleigh kepada arwah tok ayah kerna arwah adalah bekas pesara guru besar Sek. Ren. Keb. Padang Garong sebelum berkecimpung dalam bidang politik YB kerajaan negeri Kelantan pimpinan Barisan Nasional, UMNO Bahagian Gua Musang dan semasa dalam Parti Melayu Semangat 46. Aku ingin merakamkan jutaan terima kasih buat semua yang hadir, menguruskan dan menziarahi arwah tok ayah serta mengutuskan ucapan takziah buat kami sekeluarga.

Hari ini, meskipun sudah 3 tahun arwah tok ayah meninggalkan kami sekeluarga namun segala memori bersama tetap terpahat erat sampai ke akhir hayat. Hanya iringan doa semoga arwah tok ayah ditempatkan di kalangan orang soleh di sana dan sentiasa mendapat rahmat Illahi.

Bersemadilah arwah tok ayah datuk ku tersayang..
Allahyarham Dato' Hj Abdul Ghani B. Abu Bakar (22 Feb 1932 - 30 Apr 2007)
Al-Fatihah..

No comments: